Tuan-puan, jika ingin baca, sila ingatkan persoalan yang dikemukakan dalam konteks pentadbiran zaman tun mahathir.
Memahami Islam model Malaysia
Oleh: Umar Zain
Dalam artikel terdahulu (AL-ISLAM November), saya telah menyentuh sepintas lalu mengenai pilihan Malaysia dalam melaksanakan model Islamnya, sebagai perbandingan kepada beberapa model lain yang dijalankan samada secara terlalu ketat ataupun terlalu longgar pegangannya. Biarlah saya namakan Islam model Malaysia. (Penamaan dan pandangan yang dikemukan semata-mata hanyalah pandangan saya semata-mata berdasarkan penelitian yang dilakukan dalam jangka masa perkembangan Islam di Malaysia khususnya selepas tahun 1980 sehingga kini).
Islam model Malaysia ini adalah nyata dan telah dilaksanakan sejak lama, Asasnya diletakkan bermula zaman Tunku Abdul Rahman lagi sebagai Perdana Menteri, dan diteruskan hinggalah sekarang oleh Dr. Mahathir. Kelebihannya, dalam era sekarang model Islam ini diisytihar dengan beraninya oleh Perdana Menteri sebagai Negara Islam Malaysia.
Perisytiharan ini bukannya tanpa asas. Asasnya adalah pengiktirafan kebanyakan negara Islam seluruh dunia bahawa Malaysia adalah negara Islam contoh yang mengaplikasikan ajaran-ajaran Islam yang sesuai dengan suasana masyarakat dan zaman yang berubah. Pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi OIC menguatkan lagi peranan Malaysia mewakili dunia Islam dalam medan antarabangsa. Suara dan idea-idea yang dibawa Malaysia lebih mudah didengari dan diberi perhatian dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, khususnya di PBB. Dalam era perubahan yang cepat inilah, masyarakat di dunia Islam mencari-cari suatu model yang dapat dijadikan rujukan dalam kehidupan dan pembangunan Islam di negara masing-masing.
Adalah merupakan satu hakikat bahawa batu asas Islam Malaysia dalam abad moden diletakkan oleh Dr. Mahathir. Selama lebih 20 tahun Malaysia di bawah pentadbirannya, pelbagai dasar berteraskan Islam telah dilaksanakan di peringkat kerajaan. Tetapi, yang lebih penting adalah pemikiran-pemikiran berteraskan Islam yang menjadi asas kepada pelaksanaan segala dasar-dasar di peringkat kerajaan. (Bukanlah di sini tempatnya untuk menyebut pemikiran Dr. Mahathir mengenai Islam yang begitu pelbagai dan seringkali mengejutkan itu).
Lebih penting, Dr. Mahathir selaku pemikir Islam dan pelaksana dasar-dasar Islam. Ini meletakkan beliau dan negara Malaysia begitu jauh ke hadapan dari segi pembaharuan pentafsiran Islam berbanding dengan negara-negara Islam yang lain. Sementara kebanyakan daripada kita suka merujuk kepada beberapa nama besar dalam dunia pemikiran Islam seperti Hassan Hanafi, Qasim Amin, Nurkholish Madjid, Syed Tantawi dan ulama-ulama tertentu, namun di peringkat negara mungkin hanya Dr. Mahathir sahaja yang memainkan peranan pemikir dan pentadbir Islam serentak.
Di negara lain, mereka hanyalah mengemukakan nama-nama pencetus idea dan tidak pelaksana idea tersebut. Ini dua hal yang berbeza, kerana idea yang baik dan bernas belum pasti diterima sekiranya penulis/pencetus idea mempunyai pendekatan yang berlawanan dengan pemerintah. Keadaan beginilah yang selalu berlaku di negara Islam yang lain sehingga idea-idea Islam gagal terlaksana. Di Malaysia, hal ini tidak berlaku atas dasar dua peranan tersebut telah bergerak serentak iaitu Dr Mahathir bertindak sebagai pemikir dan pelaksana dasar-dasar Islam.
Maknanya, negara lain hanya mempunyai pemikir Islam sahaja yang hanya memberikan buah fikiran tetapi negara kita mempunyai seorang Perdana Menteri pemikir Islam. Keadaan inilah yang meletakkan Malaysia begitu terkehadapan dari segi kemajuan negara di kalangan negara-negara membangun dan dalam masa yang sama mewujudkan nilai-nilai Islam positif dalam pentadbiran negara.
Di dalam negara juga, perisytiharan negara Islam oleh Dr. Mahathir tidak dikritik oleh pengkritik-pengkritik tradisi idea negara Islam, misalnya DAP dan parti-parti bukan Islam yang lain. Mereka menerima dengan senang hati kerana tiada apa yang berubah dan bakal menggerunkan mereka tidak seperti idea negara Islam oleh sebuah lagi parti Islam di Malaysia.
Dalam temuramah beliau dengan wartawan akhbar Bangkok pada 20 Oktober, Dr Mahathir menyatakan bahwa Malaysia bukanlah negara Islam moderate tetapi negara Islam fundamentalis iaitu mengikuti ajaran Islam sebenar yang menolak kekerasan dan menerima tawaran perdamaian walaupun daripada musuh. Malaysia juga mengikuti seruan Iqra’ dengan memperuntukkan sekitar 20 peratus belanjawan negara setiap tahun untuk sektor pendidikan. Begitu juga dalam temuramah terbaru dengan media Indonesia, beliau sekali lagi mengakui bahawa beliau seorang fundamentalis Islam.
Menurut beliau “..saya ingin betulkan fahaman saudara bahawa saya menentang fundamentalis kerana saya seorang fundamentalis dalam erti kata saya mengikut asas ajaran Islam, dan lebih 1,400 tahun orang mentafsir dan tersalah tafsir Islam. Hari ini Islam hampir menjadi agama yang berlainan…Ketika ini Islam terbahagi kepada beribu fahaman yang berbeza, tarikat yang berlainan, pelbagai imam dan mereka semua mengajar perkara berbeza sangat jadi (sehingga) kita berlawan sesama sendiri. Ini bukan cara Islam. Kita bersaudara, jika kamu walaupun Islam Eropah, kita tetap bersaudara”. (Utusan Malaysia, 23 Oktober 2003).
Model ini, yang diinisiatif oleh Dr Mahathir secara relatifnya agak baru dalam perbincangan pemikiran Islam, iaitu sekitar 20 tahun namun mula menunjukkan pelbagai kesan yang kuat di pelbagai bahagian dunia. Nilai idea Islam yang ‘baru’ ini mendapat pengiktirafan negara-negara Islam yang berpengaruh seperti Arab Saudi, Mesir dan Indonesia selain daripada negara sahabat seperti Rusia dan China, apabila mereka mengukur kemajuan negara kita yang menerapkan nilai-nilai Islam dengan negara-negara membangun yang lain.
Manakala negara-negara yang kurang bersimpati dengan Islam sentiasa sahaja cuba mencari sebab supaya idea-idea baru (lebih tepat tafsiran baru) terhadap Islam ini didiamkan. Buktinya, pada perhimpunan OIC Putrajaya yang lalu, tidak ada satu pun media gergasi Barat yang melaporkan mengenai isu-isu utama dalam persidangan tersebut. (Mereka hanya melaporkan apabila Dr Mahathir mendedahkan kelicikan Yahudi dalam ‘memerintah’ kuasa besar dunia).
Kandungan utama kepada model ini ialah sifat boleh lenturnya (fleksibel) dalam memahami teks-teks Islam samada al_Quran mahu pun Hadis, dengan mengambil isi-isi ajaran dan bukan bentuknya. Oleh itu pemahamannya dalam menangani isu-isu agama seperti masalah politik agama, sosial dan perbezaan kebudayaan di kalangan pelbagai kaum ditangani dengan penuh rasional.
Kajian mendalam diperlukan untuk memperluaskan lagi perbincangan dan pemahaman rakyat terhadap model ini. Kritikan yang selalu ditimbulkan terhadap model ini selalunya dalam bentuk kritikan selapis, misalnya mengapa dalam negara Islam masih lagi mengizinkan penjualan arak, judi dibenarkan dalam negara dan sebagainya. Itu pun biasanya dalam bentuk putar belit politik pembangkang yang menggunakan agama dalam mencari pengaruh, dalam keadaan mereka sendiri sedar bahawa keizinan terhadap aktiviti sedemikian diberikan atas dasar membolehkan kerajaan mengawal aktiviti itu. Usaha-usaha memperkukuhkan kefahaman ini boleh dijalankan oleh pelbagai institusi pendidikan tinggi.
Ulama-ulama di institusi pengajian tinggi, dalam dan luar negara samada berpendirian ‘kerajaan atau pembangkang’ perlu keluar daripada kepompong konservatif mereka supaya kajian yang teliti dan mempunyai otoriti akademik yang tinggi dapat dikemukan dalam mengabsahkan pemikiran Islam Dr Mahathir, supaya sekurang-kurangnya pemikiran beliau diletakkan sebagai perbandingan dengan mazhab-mazhab lain yang sudah disahkan.
Dr. Mahathir, dalam usahanya menyelamatkan maruah negara daripada cengkaman asing telah mengambil beberapa tindakan berbentuk politik. Usaha ini dikira sangat penting dan menentukan arah perkembangan Islam di Malaysia daripada Islam ‘fundamentalis’ hari ini kepada Islam berbudaya tunggal .
Beberapa pengkaji melihat pergolakan politik yang berlaku dalam negara, khususnya merujuk kepada penyingkiran Anwar Ibrahim pada September 1998 disebabkan dua faktor besar. Sudah pastilah faktor perbezaan pandangan ekonomi yang menjadi pemacu utama di mana Anwar Ibrahim berkecenderungan, malah hampir membuat keputusan untuk menyerahkan maruah negara di tangan IMF, di mana semua dasar-dasar yang dibuat menjelang pemecatannya adalah carbon copy sahaja daripada dasar-dasar yang telah diarahkan IMF di banyak negara. Contohnya, menaikkan kadar faedah kepada satu angka yang tertinggi supaya pinjaman dalam negara turun secara mendadak, dan kesannya projek-projek dalam negara akan terhenti.
Satu lagi faktor yang sangat besar tetapi kurang diteliti adalah faktor menyekat penyebaran fahaman Islamisasi. Dalam negara kita misalnya, Dr Mahathir setakat ini berjaya menahan gelombang aliran Islamisasi, yang ingin mengislamkan semua perkara termasuk anjuran fahaman budaya tunggal yang didokong oleh Anwar Ibrahim melalui proksi utamanya iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Mujurlah gabungan ABIM-PAS yang bertapak seketika sewaktu pakatan Keadilan dan PAS pada pilihan raya November 99 di mana Keadilan waktu itu dikuasai ABIM , tidak berjaya menguasai negara kita suatu ketika dulu. Sekiranya penguasaan tersebut berlaku, fenomena budaya tunggal dalam pengertian hanya budaya Islam yang boleh digalakkan pasti akan berleluasa di negara kita. Maknanya apa-apa sahaja perlu berlandaskan Islam dalam pengertian dua kumpulan ini.
‘Ideologi’ Islam UMNO dan diperteguhkan oleh Dr Mahathir berasaskan kepercayaan kepada prinsip-prinsip umum Islam seperti memberi pendidikan setinggi mungkin kepada rakyat, memberi keadilan kepada rakyat melalui satu proses perundangan dan yang terpenting, tidak memaksa rakyat mengikut fahaman satu pengertian tertentu terhadap ajaran sesuatu agama. Ini bukan fahaman Islam longgar dan serba boleh. Fahaman ini ada asasnya iaitu kepada seruan-seruan utama dalam al_Quran dan Hadis. Malangnya, selama bertahun-tahun, ulama kumpulan ini (baca ulama kerajaan-UMNO) gagal mengemukakan suatu disertasi yang cukup meyakinkan terhadap Islam aliran UMNO ini sehingga begitu mudah ditumpaskan oleh Islam selapis PAS mahu pun aliran Islamisasinya ABIM.
Oleh itu, UMNO suatu ketika begitu cepat diABIMkan melalui proses abimisasi yang menggunakan jentera kewangan, lantikan kroni tertentu dalam syarikat strategik negara, tindakan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan dan pelbagai cara yang lain.
Aliran Islamisasi misalnya, begitu berkesan dan cepat berkembang, kerana yang mempunyai pusat ideologi (ISTAC-UIAM dan Institut Kajian Dasar -IKD), pemuka ideologi-Syed Naguib al-Attas, alat sebaran –jurnal, buku-buku dan sumber kewangan walaupun melalui dana dan geran kerajaan, jentera selain sebuah kesatuan pendokong yang sangat kuat, iaitu ABIM.
Dr Mahathir bukannya tidak tahu bahawa ramai rakyat Malaysia, khususnya yang terpengaruh dengan aliran budaya tunggal akan mengkritik beliau dan konsep negara Islamnya yang membenarkan aktiviti multi budaya dalam negara. Oleh itu, kerajaan tidak ada masalah dalam penganjuran aktiviti-aktiviti kesenian dan memberikan kebebasan yang sewajarnya kepada rakyat dalam menikmati hal-hal seni.
Oleh itu, suatu kajian bertujuan peneguhan terhadap model Islam Malaysia perlu dijalankan dan maklumatnya disebarkan sesuai dengan keupayaan Malaysia menajdi negara pemuka di kalangan negara-negara Islam. Bagaimana cara pemimpin dan kerajaan menyelesaikan isu-isu yang sentiasa menjadi dilemma kepada mana-mana kerajaan Islam perlu didokumenkan supaya maklumat ini dijadikan rujukan negara-negara luar. Contohnya, bagaimana kita menjelaskan bahawa perjudian dan arak diberikan lesen atas dasar kawalan terhadap aktiviti tersebut. Tanpa permit pun, aktiviti perjudian akan tetap berleluasa. Malah, pelantikan orang Islam dalam syarikat perjudian bertujuan menjadi pemerhati dan masih dalam konteks kawalan dan strategi kerajaan.
Satu contoh yang baik dan selalu saya kemukakan adalah bagaimanakah caranya Malaysia membangunkan sumber tenaga wanitanya di sebalik kongkongan tafsiran agama yang masih berkecenderungan ortodok. Bagaimanakah negara Malaysia, yang sama sahaja kefahaman Islamnya dengan negara-negara Timur Tengah suatu ketika dulu dalam hal-ehwal wanita berjaya mengembangkan potensi wanita secara individu dan berkumpulan sehingga jumlah kemasukan wanita ke universiti meningkat secara mendadak.
Unjuran sesetengah pihak bahawa berdasarkan data kemasukan ke universiti sekarang, menjelang tahun 2020 Malaysia akan menjadi sebuah negara yang dikuasai wanita samada sektor awam mahu pun sektor swastanya. Bandingkan pencapaian-pencapaian ini dengan negara Asia Barat seperti Kuwait mahu pun Arab Saudi.
Berdasarkan perkara-perkara inilah, kita perlukan satu kajian teliti mengenai Islam model Malaysia, yang banyak dicorakkan pengertiannya oleh Dr Mahathir. Dr Mahathir bertindak sebagai pemikir dan jurucakapnya, dengan menganggap inilah Islam fundamental sehingga kefahaman Islam Malaysia telah tersebar dengan meyakinkan sehingga kini. Sepanjang ingatan saya, tidak pernah Dr Mahathir meninggalkan topik ini dalam setiap ucapannya di persidangan agung tahunan UMNO. Ini menunjukkan betapa konsistennya beliau dengan kefahamannya itu.
rasabatinku.blogspot.com
macam mana nak menerangkan rasa batin.ia merangkumi kesemuanya, apa yang dicari dan dikehendaki dalam hidup yang kompleks ini..ia indah, sekaligus pahit bergantian.lalu apa? jawapan terbaik yang saya terima setakat ini..terimalah hidup ini sebagai satu pakej,ya pakej.
Tuesday, 10 May 2011
Artikel2 lama
Saya bercadang untuk mengumpulkan semula artikel-artikel lama saya yang termuat dalam pelbagai media sejak lebih sepuluh tahun dulu..Sejak itu, entah mengapa, mungkin sibuk dengan pengajian, ataupun itu juga cuma alasan untuk tidak lagi aktif menulis, saya sudah jarang menulis.
Idea membuka semula blog ini juga sebab blog lama boleh dibuka, malangnya passwordnya dah lupa. Alangkah cuainya..
Dengan kata lain, blog ini bertujuan untuk mengumpulkan semula tulisan lama, dan jika ada kerajinan menulis semula beberapa pandangan baru. Ianya bukan sangat untuk diikuti oleh pembaca lain..saya kurang berminat dan agak pemalu..cuma nak kumpulkan idea2 sendiri untuk diikuti oleh diri sendiri agar ianya tak hilang.
Ianya juga mungkin akan menjadi diari peribadi, tapi bukan lah catatan apa yang berlaku hari demi hari. Tapi ianya saya bayangkan akan menjadi diari idea-catatan idea-idea yang terlintas yang tak semestinya bergantung kepada tarikh dan masa. Lagi pula, sepertimana jawapan saya kepada teman-teman, masa itu tak relevan kepada saya. Selepas tiga kali menjadi guru, yang kerjanya diikat oleh masa, masa sudah benar-benar tak relevan kepada saya. Yang relevan, hidup, dan mengalir..ya, mengalir.
Sapa yang suka, silakan..komentarnya dibuka ruang seluas-luasnya.. disebabkan saya bukan politician, tak penting kepada saya pujian mahupun cacian.
Idea membuka semula blog ini juga sebab blog lama boleh dibuka, malangnya passwordnya dah lupa. Alangkah cuainya..
Dengan kata lain, blog ini bertujuan untuk mengumpulkan semula tulisan lama, dan jika ada kerajinan menulis semula beberapa pandangan baru. Ianya bukan sangat untuk diikuti oleh pembaca lain..saya kurang berminat dan agak pemalu..cuma nak kumpulkan idea2 sendiri untuk diikuti oleh diri sendiri agar ianya tak hilang.
Ianya juga mungkin akan menjadi diari peribadi, tapi bukan lah catatan apa yang berlaku hari demi hari. Tapi ianya saya bayangkan akan menjadi diari idea-catatan idea-idea yang terlintas yang tak semestinya bergantung kepada tarikh dan masa. Lagi pula, sepertimana jawapan saya kepada teman-teman, masa itu tak relevan kepada saya. Selepas tiga kali menjadi guru, yang kerjanya diikat oleh masa, masa sudah benar-benar tak relevan kepada saya. Yang relevan, hidup, dan mengalir..ya, mengalir.
Sapa yang suka, silakan..komentarnya dibuka ruang seluas-luasnya.. disebabkan saya bukan politician, tak penting kepada saya pujian mahupun cacian.
Subscribe to:
Comments (Atom)